Monday, October 16, 2017

KepadaMu Kekasih

Bayu di puncak Gunung Chintawangsa menyapa lembut ke wajah baginda. Selendang yang melitupi rambut baginda hampir sahaja terbang namun tangan baginda yang sedikit ketar masih pantas untuk menyambut selendang dari dibawa lari oleh bayu yang sengaja menguji baginda.

Hati baginda merasa sayu kerana ini adalah kali terakhir baginda di situ.

“Kau tahu, Kijang…,” katanya sambil mengusap-ngusap kepala kijang yang sentiasa di sisi, “beta amat yakin Saadong dapat memerintah Kelantan dengan baik dengan bantuan suaminya. Beta mendoakan semoga puteri beta sentiasa didalam lindungan Yang Maha Esa.”

Kijang mengangguk. Dia faham benar apa yang tersirat di dalam hati Paduka Cik Siti. Semenjak kedatangan pedagang Arab ke pesisiran laut Kelantan lebih empat puluh tahun dahulu, Paduka Cik Siti benar-benar berubah. Hasratnya mempelajari agama Islam yang sangat mendalam telah membuka hati baginda untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Ilmu saktinya tidak lagi digunakan.  Segala masalah negara dihadapinya dengan bijak dan saksama tanpa ada sebarang pertumpahan darah.

“Ayuh, Kijang, kita mulakan perjalanan ke gunung kelahiranmu,” ujar Paduka Cik Siti sambil melangkah longlai dengan tongkatnya menuju ke Gunung Ayam. Sepurnama yang lalu, hasrat baginda untuk menghambakan diri sepenuhnya kepada Yang Maha Esa dengan tenang di gunung itu telah dikhabarkan oleh baginda kepada seorang rakyat yang budiman, rakyat yang sama yang telah menghadiahkan Kijang kepada baginda. Lalu sebuah pondok disediakan untuk baginda. “Rahsiakan pondok beta dari diketahui umum,” titah baginda.

Semenjak hari itu, Paduka Cik Siti tidak lagi kelihatan. Kisah hidupnya tidak lagi diketahui.

Bayu Gunung Chintawangsa yang sering merindu untuk menyapa wajah baginda terkadang dengan sengaja melewati Gunung Ayam untuk bertanyakan khabar Paduka Cik Siti. Bayu menari riang cuba mengusik, namun selendang yang diikat kemas oleh baginda tidak mudah diterbangkan.

-Emila100517
©emyusof ©emilayusof

Rindu Deruma

Ribut baru sahaja berhenti. Deruma masih tidak mempercayai apa yang berlaku di hadapan matanya. Jeritan anaknya memohon ampun sebentar tadi masih terngiang di telinganya. Dia hanya boleh menangis.

Namun semuanya sudah terlambat. Permintaannya supaya Tuhan menunjukkan bahawa dia adalah ibu kandung kepada Tanggang telah dikabulkan; malah lebih dasyat dari itu. Kalaulah boleh dipusingkan masa, dia tidak akan menyumpah anaknya sendiri.

Dia masih boleh hidup tanpa Tanggang. Walaupun hidup seperti kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, Deruma dan suaminya, Talang, tetap bahagia tinggal di pondok usang biarpun ada sekelumit rindu terhadap Tanggang yang terbit setiap hari. Rindu dan harapan itu lebih indah dari apa yang disaksikannya sekarang.

“Selamat tinggal, Tanggang anakku sayang,” bisik Deruma dalam sedu sambil melangkah perlahan meninggalkan muara sungai yang dipenuhi dengan bongkahan kapal dan manusia yang telah menjadi batu.

Tiada lagi harapan dan rindu.

-Emila100517
©emyusof ©emilayusof

Suria Akan Tiba

Hujan turun mencurah-curah, seakannya ada empangan sedang pecah di atas sana. Dia membiarkan dirinya kuyup kerana dia tahu hanya hujan dapat membasuh segala dukanya. Langitnya tidak selalu cerah, namun dia pasti suria akan menanti tatkala hujan berhenti menangis.

-Emila131017
©emyusof ©emilayusof
A post shared by Emila (@emilayusof) on

Saturday, October 14, 2017

Lari

Malam yang gelita serasakan seperti jurang dalam yang tiada penghujungnya, tetapi dia masih terus berlari dan berlari, jauh dari mimpi yang sangat dasyat yang merantainya dari mara ke hadapan. Dia harus meredah belantara rasa dan kembali ke alam nyata.

-Emila111017
©emyusof ©emilayusof


A post shared by Emila (@emilayusof) on

Sunday, October 8, 2017

Tiada lagi Nyanyian

I
“Hey, merpati tak kawan dengan merbah!” ujar Piah apabila dilihatnya seekor merbah kuning kecil cuba tumpang berteduh di bawah bumbung bangunan usang yang telah menjadi tempat tinggalnya semenjak dia ditetaskan.

Piah, si merpati gemuk itu kelihatan comel apabila marah. Si merbah kecil, Nin, terkebil-kebil lalu terbang beranjak sedikit ke hujung bumbung. “Di situ pun tidak boleh,” kata Piah.

Nin terbang ke bawah dan hinggap di tingkap. “Hello, semua bangunan ini burung merpati sudah tanda,” kata Piah sambil menudingkan sayapnya ke arah tahi-tahi burung merpati yang berteraburan di situ.

“Dan lagi, awak dilarang memijakkan kaki ke sini. Awak nampak papan tanda 'No Entry' di bawah bangunan ini?” kata Piah.

Nin terbang pergi. Dia terbang lagi mencari tempat untuk berehat. Sayapnya telah penat. Di hadapan sebuah kuil, Nin lihat ada satu patung berwarna emas yang tangan kanannya memegang serampang bermata tiga, kepalanya ada mahkota, lehernya dihiasi rantai dan juga kalungan bunga. Di bawah cahaya matahari terik, patung itu berkilauan.

“Sungguh bercahaya patung ini. Pasti ini tuhan,” kata Nin di dalam hati. Dia bertenggek di bahu patung itu. “Saya tumpang berehat ya, tuhan,” pinta Nin sambil melihat muka patung tersebut. Patung itu mukanya memang sudah tersedia tersenyum. Nin gembira permintaan kecilnya itu dipersetujui patung tersebut.

Di situ tiada gangguan dari burung-burung merpati. Kelibat Piah pun tidak ada di situ. Nin merasa tenang dan mula menyanyi. Suaranya sangat merdu. Sambil menyanyi, Nin melihat muka patung tersebut. Masih tersenyum. “Tuhan sukakan nyanyian saya rupanya. Terima kasih tuhan kerana beri saya tumpang di sini. Saya akan sentiasa nyanyikan lagu merdu untuk tuhan,” kata Nin berkicauan gembira.

Setiap petang, apabila sudah terbang mencari makan, Nin akan pulang berehat ke bahu patung itu dan mula menyanyi. Pengunjung-pengunjung kuil mula terhibur dan memuji-muji suara Nin. Nin nampak Piah mengintai dari belakang bumbung kuil. Pasti Piah sukakan nyanyian Nin kerana setiap kali Nin habis menyanyi, barulah Piah pergi.

II

Kehadiran merbah kecil tidak disenangi penjaga kuil. Semenjak kedatangan burung itu, tugasannya bertambah lagi satu; mencuci tahi burung setiap pagi. Dia tidak tahan lagi dan berazam menangkap burung tersebut.

Penjaga kuil membawa sangkar rotan dan menangkap Nin. Nin dikurung dan dibawa pulang ke rumahnya. Semasa ditangkap dan dibawa pergi, Nin sempat bertanya kepada patung tersebut, “tuhan tak marah Nin, bukan?” Patung itu tersenyum, dan Nin gembira.

Sejak hari itu, pengunjung tidak lagi dapat mendengar suara Nin yang merdu. “Ke mana perginya burung itu?” mereka tertanya sesama sendiri. “Mungkin sudah mati?” tanya seorang lagi. “Mungkin sudah dimakan kucing, agaknya,” kata seorang lagi.

Yang paling merindui suara Nin ialah patung emas. Dia tidak lagi mendengar nyanyian merdu Nin, namun masih boleh tersenyum.

Nin sebenarnya masih menyanyi, namun suaranya tidak sampai ke kuil. Saban hari dia cuba menyanyi sekuat hati agar patung emas mendengar tetapi tidak berjaya. Lama-kelamaan, tiada lagi lagu datang dari sangkar rotan kecil itu.

III

Petang itu Piah terbang ke bumbung kuil untuk mendengar Nin menyanyi namun tiada Nin. Piah nampak penjaga kuil membuang sesuatu ke dalam tong sampah. Selepas penjaga kuil pergi, seekor gagak datang bertenggek di tepi mulut tong sampah.

"Apakah yang penjaga kuil itu buang dalam tong sampah?” tanya Piah kepada gagak.

"Hanya seekor burung merbah kecil yang mati," jawab gagak, sambil terbang masuk ke dalam tong sampah.

-Emila 081017
©emyusof ©emilayusof

[542 patah perkataan]


Saturday, October 7, 2017

Pakcik Muthu, Tunggu Piah

Pertama kali menulis cerpen. Saya pernah menulis karangan di sekolah menengah, dan guru memberi dua ulasan; i) bagus kerana permulaan yang menarik, ii) kurang bagus kerana penamat yang tergesa-gesa. Saya memang tidak sabar menulis.

Saya masih lagi belajar dan banyak membaca cerpen. Saya tidak berapa minat cerita-cerita cinta dan cuba menulis tentang aspek lain kehidupan yang tentunya juga menarik untuk diceriterakan.

Cerpen pertama saya:

I
Sudah seminggu Piah merantau ke kota. Derusan kereta dan hiruk-pikuk bunyi kereta meresahkan fikirannya. Ah, kota besar yang tidak pernah sunyi. Dari Subuh hingga ke larut malam. Dari larut malam hingga ke subuh. Dia menggaru sayapnya dengan jari kaki sambil fikirannya merenung kehidupannya di atas bumbung bangunan lama penjajah yang sudah dibaikpulih. Dari tempat dia datang, di sebuah bandar kecil, bumbung bangunan yang didiami dahulu dipenuhi dengan lumut, sudah hampir roboh dan terbiar tanpa dipedulikan. Tetapi ada sesuatu tentang bangunan usang itu.

Bangunan usang dan Pakcik Muthu sangat berkait-rapat. Pakcik Muthu yang sebatang-kara yang berusia sekitar lapan-puluhan itu suka melawat bangunan-bangunan lama sekitar bandar untuk memberi makan kepada burung merpati, termasuk bangunan usang tempat Piah tinggal. Setiap pagi jam delapan, Pakcik Muthu pasti hadir tanpa gagal; dengan berbekalkan beg sandang yang dipenuhi dengan bijirin makanan burung. Menurut burung-burung tua di situ, Pakcik Muthu mengalami sakit mental, kadangkala suka bercakap sendirian, kadangkala suka bercakap dengan burung.

Sehinggalah seminggu yang lepas, Pakcik Muthu tidak muncul lagi.

Piah berazam mencari Pakcik Muthu. Masih terngiang-ngiang di kepala Piah akan kata-kata Pakcik Muthu, “kamu semua ini tahu makan sahaja dan kemudian tidur di bawah bumbung. Aku ini tidak akan selamanya di sini beri makan. Cuba lebarkan sayap kamu semua dan terbang jauh sedikit. Kalau aku ada sayap, aku sudah terbang jauh-jauh dan nikmati keindahan dunia. Pasti ada makanan sedap. Pasti ada sawah menguning. Pasti ada lautan biru. Pasti ada hutan yang menghijau. Pasti ada gunung-ganang yang diselimuti awan. Pasti ada lautan lagi biru. Pasti ada taman bunga berwarna-warni. Pasti ada kebun menjingga. Pasti ada gunung memutih. Pasti ada dunia putih.”

Piah yakin, Pakcik Muthu telah mendapat sayap dan sudah terbang melihat dunia. Piah berazam mencari Pakcik Muthu.


II

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Di singgahan pertama, Piah dapat makan makanan yang sedap. Piah dapat makan roti canai, nasi ayam, nasi lemak, sate daging dan sebagainya. Tetapi selalunya Piah dapat saki baki sahaja kerana burung-burung gagak agak agresif di kawasan kota. Mereka selalunya menghalau Piah jauh-jauh dan berkenduri sesama mereka sahaja. Namun begitu, perut Piah terisi. Cukuplah untuk memberi tenaga kepada Piah untuk mencari pakcik Muthu.

Piah terbang dari satu bangunan usang ke satu bangunan usang yang lain kerana dia tahu Pakcik Muthu sukakan bangunan sebegitu. Piah tahu mesti Pakcik Muthu sedang beri makan kepada burung di salah satu bangunan usang di situ. Piah tidak nampak kelibat Pakcik Muthu tetapi yang Piah nampak ialah beberapa orang lain yang sama hobinya dengan Pakcik Muthu. Piah terbang turun dan makan bijiran yang bertaburan di atas siarkaki bangunan, terubat sedikit rindunya pada Pakcik Muthu.

Piah berkira-kira mahu terbang lagi jauh. Piah melebarkan sayap dan terbang ke utara. Selama dua hari Piah terbang sejauh beberapa ratus kilometer.

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah lihat sawah padi menguning. Piah terbang rendah dan memagut padi dengan gembira sebelum Piah terperanjat melihat rupa orang-orang yang mengerunkan. Bunyi traktor bajak juga menakutkan Piah. Piah terbang segera mencari bangunan usang.  Dari jauh Piah nampak kelibat Pakcik Muthu. Piah hinggap di tiang lampu untuk melihat rupa si pemberi makan. Bukan Pakcik Muthu.

Piah terbang lagi sedikit ke utara. Piah mengisi perutnya dengan sisa-sisa pasembor yang didapatinya dari tong sampah di belakang restoran untuk menambah tenaga. Dia juga cuba mencari Pakcik Muthu di sekitar pulau kota lama, manalah tahu jika ada. Namun tidak kelihatan kerana mungkin waktu sudah petang. Pakcik Muthu selalunya memberi makan pada waktu pagi. Piah meneruskan penerbangan.

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah lihat lautan yang luas berwarna biru, sebiru langit biru cerminannya. Lautan biru yang dihiasi dengan rantaian manik burung-burung camar mencari makan. Piah lihat ada kenderaan air; ada yang besar dan perlahan dipenuhi penumpang, ada yang kecil dan laju dimuati dua tiga orang, ada juga yang seperti motosikal dipandu oleh satu orang.

Piah hinggap di pokok Ru di tepi pantai. Penerbangannya dihentikan kerana hari sudah senja. Piah menyaksikan matahari perlahan-lahan membenamkan diri di dalam lautan yang kemudiannya bertukar menjadi ungu dan jingga. Kalaulah ada Pakcik Muthu melihat bersama Piah.

III

Piah terbang lagi. Kali ini lebih jauh. Dua kali ganda jauhnya dari tempat persinggahan yang sebelumnya.

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah lihat hutan hujan tropika yang menghijau. Piah lihat berkawan-kawan burung dari pelbagai jenis terbang mencari makan. Piah nampak ada yang hinggap di belakang lembu, tidak kurang juga ada yang hinggap di tiang-tiang letrik yang talian kabelnya berselirat.

Piah tidak mahu lama di kota yang kabelnya berselirat ini kerana Piah gerun melihat perhimpunan merpati di atas talian Selagi ada talian kabel, selagi itu ada merpati. Dua ratus, tiga ratus ekor, mungkin lebih, tidak terhitung oleh jari kaki Piah!

Piah terbang mencari bangunan-bangunan usang di situ. Piah tidak nampak pakcik Muthu yang satu itu tetapi Piah nampak ‘Pakcik Muthu’ yang lain di deretan kedai-kedai lama yang hadapannya dipenuhi dengan motosikal dan beca. “Pakcik Muthu’ ini sebaya dengan Pakcik Muthunya, tetapi kacak sedikit. Piah hinggap dan memagut bijiran. Terubat sedikit rindu pada Pakcik Muthu. Tiada Pakcik Muthu, dapat menggamit sedikit kenangan bersama Pakcik Muthu pun sudah memadai.

Piah terbang dan terbang dan terbang sehingga mencecah jarak sejauh lebih dua ribu kilometer ke utara dalam masa beberapa hari.

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah lihat ada gunung-ganang nan tinggi yang diselimuti awan. Piah dapati cuacanya agak sejuk dari biasa. Dia tahu dia telah jauh meninggalkan Khatulistiwa. Piah mengigil kesejukan.

Piah memerhati sekeliling tempat itu, lain dari yang lain. Disebalik gunung-ganang yang diselimuti awan itu, Piah nampak kawasan perkampungan. Piah terbang rendah dan nampak pasar kecil yang dipenuhi bangunan-bangunan usang tetapi masih berfungsi. Piah ke situ kerana menurut firasatnya, Pakcik Muthu ada di situ. Namun Pakcik Muthu yang satu itu tiada di situ, yang ada cuma 'Pakcik Muthu' yang lain. Sejurus nampak Piah berdekatan, 'Pakcik Muthu' itu menabur lebih banyak bijirin. Piah hinggap di tanah dan memagut bijiran yang berteraburan. Sambil Piah makan, sambil itu airmatanya berlinangan. Dia makan banyak dengan harapan rindunya hilang, namun sangkaannya meleset. Lagi banyak Piah makan, lagi kenyang perutnya, justeru, Piah kepenatan.

Piah bermalam di kampung itu. Kesejukan bertambah apabila malam tiba. Piah tidur di bawah bumbung bangunan lama di pasar itu. Piah juga rindukan kampung halamannya, namun tidak sekuat rindu pada Pakcik Muthu.

IV

Piah menyambung penerbangan tatkala fajar menyinsing. Piah terbang beberapa ratus kilometer lagi dalam masa sehari.

Benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah nampak lautan yang lagi biru! Terlalu biru hingga nampak semacam hitam, seperti lagu yang pakcik Muthu suka nyanyikan ketika menabur bijirin makanan: “aku damba kebebasan, biar pahit biar pedih, biar biru mata hitamku....”

Piah nampak perkampungan nelayan dan Piah juga nampak burung-burung pelagik. Burung camar yang mulutnya sangat bising. Piah tidak tahan dengan bunyinya. Piah terbang menyusuri jalan-jalan yang berliku yang mengelilingi bukit menuju ke satu perkampungan. Piah terbang rendah dan lihat-lihat jika ada bangunan usang. Banyak! Sudah tentu Pakcik Muthu kemari, detak hatinya. Piah terbang keliling mencari-cari Pakcik Muthu, namun tiada. Dia sedikit kehampaan namun azamnya terus kukuh. Misi pencarian Pakcik Muthu harus diteruskan.

Piah sukakan suasana kampung di bukit itu dan dia tinggal beberapa hari di situ sambil mengumpul tenaga untuk terbang lagi.

V

Piah terbang lagi sejauh beberapa ribu kilometer. Dia hanya berhenti selang beberapa jam dan berehat di pokok dan mencari makan. Setelah penatnya hilang, Piah terbang semula. Seminggu lamanya Piah berkelana, akhir Piah sampai ke daerah lain.

Memang benar kata pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah lihat taman bunga berwarna-warna. Piah juga lihat kincir air berpusing ria. Piah lihat ramai manusia menikmati keindahan alam. Piah suka. Piah suka kerana di situ juga banyak bangunan lama beratus tahun yang masih teguh dan masih didiami manusia. Piah yakin dia semakin hampir dengan Pakcik Muthu. Dia meninjau di sekitar kawasan itu mencari Pakcik Muthu. Tiada Pakcik Muthu. Dia ke bangunan lain di selekoh sana. Tiada pakcik Muthu. Dia terbang ke sana kemari satu hari penuh, masih tiada Pakcik Muthu. Tiada, tiada, tiada.

Piah tidak mahu tinggal lama di situ. Piah terbang lagi selama beberapa ratus kilometer.

Memang benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Piah nampak padang yang menjingga. Bukan padang sahaja, Piah juga nampak yang pokok-pokok berwarna jingga, kuning dan merah! Piah lihat labu jingga yang gemuk ketika melewati satu kebun sayur yang luas. Pemandangan jingga berlatar-belakangkan langit kelabu. Sesungguhnya Pencipta dunia ini Maha Bijaksana, bisik hati Piah. Dalam keadaan suram pun, masih ada keindahan.

Piah bermalam di kebun labu. Seronok Piah makan cacing dan juga biji-biji labu yang terbiar di tepi kebun. Malam itu Piah tidur kekenyangan. Esoknya dia akan ke bandar berdekatan mencari Pakcik Muthu.

Seperti rutin selalu, Piah berkeliaran di hampir semua bangunan usang. Tiada pakcik Muthu. Piah hampa. Piah sangat hampa. Piah betul-betul hampa. Ke manalah Pakcik Muthu pergi.

Piah segera meneruskan penerbangannya tanpa lengah. Piah terbang dan terbang. Dan terbang. Dan terbang. Piah memaksa dirinya supaya tidak berhenti. Cuaca semakin sejuk. Sayap Piah semakin penat. Mata Piah berpinar. Piah terasa dirinya beku dan sayapnya tidak lagi boleh bergerak. Piah menjunam ke bawah. Piah terhempas ke atau dataran putih yang sangat sejuk.

Benar kata Pakcik Muthu. Dunia itu indah.

Di sisi matanya, Piah nampak kerpasan ais berwarna putih di atas tanah. Sayup dan kabur dibelakang sana Piah llihat ada gunung yang memutih. Piah juga nampak kerpasan ais turun tanpa henti dan semakin melitupi badannya. Tenaga Piah makin berkurangan. Piah tidak lagi berdaya membuka matanya. Anehnya, apabila Piah memejamkan mata, Pakcik Muthu akhirnya muncul. Pakcik Muthu bertanyakan khabar Piah. Pakcik Muthu kata Piah tidak perlu pergi jauh mencarinya. Piah sepatutnya tahu yang Pakcik Muthu sebenarnya dekat dengannya; di situ, di hati Piah yang semakin berdegup perlahan.

Piah membuka mata dan memanggil nama Pakcik Muthu.

“Pakcik Muthu, tunggu Piah. Piah mahu ikut pakcik.”

Pakcik Muthu tersenyum dan menghulurkan tangannya. Piah terbang dan hinggap di telapak tangan Pakcik Muthu. Mereka sama-sama menghilang di sebalik deraian salji yang tebal.

Rindu Piah terubat.

Benar kata Pakcik Muthu.  Dunia itu indah.


-Emila 081017
©emyusof ©emilayusof

[1643 patah perkataan]

Friday, October 6, 2017

Perempuan Itu

Perempuan itu laut dalam;
harus diselami hingga ke dasar
kerana di situ terletak hatinya,
bersama ribuan mutiara.

- Em010417.

A post shared by Emila (@emilayusof) on