Sunday, February 16, 2014

Tingkap


Pulau Pinang. December 2013.


Tingkap
adalah pelengkap
dinding yang tetap,
bila disingkap,
ruang malap
tidak gelap.

Tingkap
adalah penyerap
cahaya gemerlap,
bila disingkap,
ruang berkuap
menjadi sedap.

©emyusof



Monday, February 10, 2014

Langit Mackerel


Deretan sempurna
tinggi di udara,
putih bak sutera
gebu bak karpasa,
kilauan jingga
memarak suasana.

Dongak ke langit dunia
nikmati seketika,
sebelum ia sirna
mengorak langkah mara,
mesra seiring masa.

©emyusof









Thursday, February 6, 2014

Ajal Sang Merpati


Palmengarten, Frankfurt. 2012.

Aku tidak bisa mara
kakiku lemah kelesa
tiada daya ke udara
lalu tumpas menyerana
menyembah laman raya.

Maut diparuh mereka
yang bagak lagi perkasa
menunggu saat dan tika
kupejam kedua mata
akur kepada qadarNya.

Selamat tinggal dunia
akan kurindu Rosa Canina
juga pohon Quercus rubra
Semoga terus riang ceria
diuliti dingin Palmengarten jingga.

©emyusof



Monday, February 3, 2014

Camar

Cape Town, Afrika Selatan, 2011.

Sayapku yang perkasa
membawaku kembara
meredah angkasa
merentas samudera
mencari bahagia.

Aku bertenggek di bahtera tua
bertemu nelayan lara
berkongsi cerita
Tujuan kami sama.

Aku bertandang di kerusi lewa
bertemu manusia mulia
berkongsi sesuap rasa
Citarasa kami serupa.

Aku berlabuh di terumbu purba
bertemu krustasia alpa
bersorak gembira
Akulah takdirnya.

Sayapku yang perkasa
membawaku kembara
ke mana sahaja
agar dapatku lena
menanti esok tiba.


©emyusof










Wednesday, January 29, 2014

Amarah

Ampang, 010114.

Amarah,
adalah lumrah
insan yang lemah,
jangan goyah
nanti parah,
ucap Isti’azah
nescaya tabah.

©emyusof

Buntu



Kerja beribu
aku buntu
lalu aku
baca buku
gosok baju
gigit kuku
garu siku
seluk saku.

Walau otak beku
hampir tiga suku
kugagahi maju
satu demi satu
jika terus buntu
kerja yang beribu
orang lain sapu
aku yang tersipu!

©emyusof




Saturday, January 25, 2014

Belalang

Ampang. 260114.

Hijauku persis alam maya
perisai nyawa kurniaan yang Esa
sayapku membawa ke udara
kakiku membawa ke desa
bepergian mencari sesuap rasa.
Aku tidak punyai raja
namun kawananku perkasa
laungan bantuan dipinta
ribuan yang datang bersama
mengharungi segala petaka.

©emyusof

Thursday, January 23, 2014

Bebas



Aku unggas
ingin lepas bebas
dari sangkar emas
yang melemas.
Sayapku lelas
nafasku jejas
jika kau belas
bebaskan lekas.

©emyusof

Jiwa Tembok


Offenbach, Germany. 2013.

Ayuh bangun dari mimpi
kuakkan jiwa tembok sepi
mentari mahu mengabdi diri
bayu ingin menyapa pipi.

Ayuh hari sudah pagi
jiwa tembok setia menanti
ruang hati dipenuhi
menjanjikan keindahan pasti.

©emyusof


Tunggul

Ampang. 2013.

Ditoreh
ditumbang
diperalat
diperkotak
dibuku
dilipat
disiat
dikesat
dibungkus
dibakar
disegalanya
oleh manusia.

Aku menangisi
belasan insani
yang mengasihani
untuk terus berdiri.

©emyusof

Amerikano


Coffee Bean & Tea Leaf, Ampang Point. 2014.

Pahit gelita sepekat malam
Membasahi ruang kelam suram
Maung mengupas bait fikiran
Merentasi segala lelautan.

©emyusof

Timbullah


Taman Tasik Ampang Hilir, KL. 2014.


Kata Sang Puchong Kuak kepada ikan:
Aku setia menanti
Biar hingga bernam mentari
Timbullah dikau mengisi
kekosongan di hati.

©emyusof

Dari Atas Dahan


Taman Tasik Ampang Hilir, KL. 2014.

Dari atas dahan
aku lihat makhluk Tuhan
ada yang berjalan
ada yang berlarian
ada yang sendirian
ada yang berpacaran
ada yang ketinggalan
ada yang berpecutan.


Pabila aku bosan
aku berpergian
bersama kawan
yang satu haluan.

©emyusof



Em Menulis

Aku buka blog ini untuk aku menulis kata-kata puitis juga cerita pendek. Sekian. Selamat membaca.