Sunday, February 16, 2014

Tingkap


Pulau Pinang. December 2013.


Tingkap
adalah pelengkap
dinding yang tetap,
bila disingkap,
ruang malap
tidak gelap.

Tingkap
adalah penyerap
cahaya gemerlap,
bila disingkap,
ruang berkuap
menjadi sedap.

©emyusof



Monday, February 10, 2014

Langit Mackerel


Deretan sempurna
tinggi di udara,
putih bak sutera
gebu bak karpasa,
kilauan jingga
memarak suasana.

Dongak ke langit dunia
nikmati seketika,
sebelum ia sirna
mengorak langkah mara,
mesra seiring masa.

©emyusof









Thursday, February 6, 2014

Ajal Sang Merpati


Palmengarten, Frankfurt. 2012.

Aku tidak bisa mara
kakiku lemah kelesa
tiada daya ke udara
lalu tumpas menyerana
menyembah laman raya.

Maut diparuh mereka
yang bagak lagi perkasa
menunggu saat dan tika
kupejam kedua mata
akur kepada qadarNya.

Selamat tinggal dunia
akan kurindu Rosa Canina
juga pohon Quercus rubra
Semoga terus riang ceria
diuliti dingin Palmengarten jingga.

©emyusof



Monday, February 3, 2014

Camar

Cape Town, Afrika Selatan, 2011.

Sayapku yang perkasa
membawaku kembara
meredah angkasa
merentas samudera
mencari bahagia.

Aku bertenggek di bahtera tua
bertemu nelayan lara
berkongsi cerita
Tujuan kami sama.

Aku bertandang di kerusi lewa
bertemu manusia mulia
berkongsi sesuap rasa
Citarasa kami serupa.

Aku berlabuh di terumbu purba
bertemu krustasia alpa
bersorak gembira
Akulah takdirnya.

Sayapku yang perkasa
membawaku kembara
ke mana sahaja
agar dapatku lena
menanti esok tiba.


©emyusof