Monday, November 23, 2015

Buat Tak Nampak

Kau nampak aku pandang, tapi
Kau jeling lalu berpaling tunjuk pipi
Ego kau setinggi Gunung Serapi
Ego aku? Bagai Gunung Penelope.

Dalam keegoan tak bertepi
Dan amarah yang berapi
Dunia terus berlalu sepi.

© emyusof.

Monday, November 9, 2015

Cerminan Diri di Jendela Arcidosso

Ketika lewat di jendela ini
langkahku terhenti
melihat bayang diri
yang berkelana pergi
melewati bumi
indah tak terperi.

Apakah yang kucari?
Mungkin diri sendiri
mungkin cerminan diri
untuk mengingati
bahawa alam semulajadi
adalah ciptaan Ilahi.

Apakah aku dapat lagi
memijakkan kaki ini
semula ke sini?
hanya Kau sahaja Maha Mengetahui.

©emyusof
Arcidosso, Italia. 210314

A photo posted by Em. (@emilayusof) on

Syurga Taman Kirstenbosch

Fikirku tadi
aku telah mati
dan bangun di syurgawi.

Terima kasih Tuhan
kerana meminjamkan
aku kesihatan
atas nikmatMu, nan
tidak terdustakan.

©emyusof
Kirstenbosch Gardens, Cape Town 200711

A photo posted by Em. (@emilayusof) on

Layu Sementara

Tadi, aku menari-nari
berputar longlai
ditiup bayu dinihari
menerima takdir Ilahi
gugur ke bumi.

Kemudian, aku dikelilingi
rakan sejati
sama-sama menanti
di mamah hari
menunggu mati.

Di suatu masa
Akan ku kembali semula
menghiasi taman bunga
Bornheim, dengan warna
merahku yang menyala.

©emyusof
Bornheim, Frankfurt 191015

A photo posted by Em. (@emilayusof) on

Jerebu

Jerebu, persis kabus
menyamarkan pandangan
tampak indah
namun menjejas jantung.

©emyusof
Ampang 041115
A photo posted by Em. (@emilayusof) on

Kau Jalan Terus

Pandang ke hadapan
ada yang menanti
yang harus ditempuhi
yang perlu diterokai
yang boleh dipelajari.

Jangan pandang ke belakang
Jika hanya ada suara sumbang
menggoda kau merubah hala
menanti dengan pisau di belakang mereka.

©emyusof
Singapura 091115
A photo posted by Em. (@emilayusof) on

Wednesday, November 4, 2015

Di sebalik tabir Pesta Buku Frankfurt 2015

Buat kali ke-67, bermula dari 13 hingga 18 Oktober yang lepas, industri perbukuan dari serata pelusuk dunia berjumpa di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 (PBAF 2015).

Lebih kurang 7,200 penerbit dari 104 buah negara mempromosikan buku terbitan terbaru mereka bukan sahaja kepada pengunjung awam (selalunya pada dua hari terakhir pesta) malah untuk menjual hak cipta terjemahan kepada mana-mana penerbit dari negara lain yang berminat. Dalam perkataan lain; urus niaga.

Topik-topik fokus utama di PBAF 2015 adalah Asia, Kanak-Kanak, Pendidikan, Masakan, Sains, Hak Cipta & Pelesenan, Terbitan Sendiri, dan Seni & Reka Bentuk.

Buat julung kalinya, tahun ini penganjur PBAF 2015 telah berganding-bahu dengan penganjur Pesta Buku Masakan Antabangsa untuk bersatu di bawah bumbung Galeri Gourmet. Seramai 80 pempamer dari lebih 30 buah negara (termasuk Malaysia) menyertai galeri tersebut yang bertemakan Area of Indulgence.

Di bawah kendalian Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan tema 'Citarasa Malaysia', tahun 2015 menyaksikan sebanyak 29 penyertaan daripada penerbit dan seorang ilustrator (iaitu saya). Tema ini adalah sejajar dengan salah satu topik utama. Citarasa Malaysia juga tidaklah hanya berteraskan citarasa makanan, ianya meliputi semua aspek yang bercitarasakan Malaysia; iaitu budaya tempatan Malaysia.

Senarai pempamer adalah seperti berikut:
  1. Benzamine Book Centre Sdn. Bhd.
  2. Buku Fixi 
  3. Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. Dubook Press Sdn. Bhd.
  5. e-Sentral eBookstore (Xentral Methods)
  6. Grup Buku Karangkraf
  7. Institut Terjemahan & Buku Malaysia 
  8. Kalsom Taib Publishing
  9. Malaysian Book Publishers Association
  10. Malaysiana LCMS (ebigator.com)
  11. Pelangi Publishing Group Bhd.
  12. Perbadanan Kota Buku
  13. Perdana Marketways Sdn. Bhd.
  14. PTS Media Group Sdn. Bhd.
  15. Shakespot Sdn. Bhd.
  16. Malaysian Current Law Journal 
  17. Reka Cetak Sdn. Bhd.
  18. TRAX Publishing Sdn. Bhd
  19. University Book Store Malaysia
  20. Yusof Gajah Lingard Literary Agency Sdn. Bhd.
  21. Malaysian Scholarly Council (MAPIM)
  22. UNiMAS Publisher
  23. UMT Publisher
  24. UPM Press
  25. USIM Press
  26. Penerbit USM
  27. Penerbit UTM Press
  28. UTeM Press
  29. UMK Press
  30. Emila Yusof
Acara-acara yang telah dijalankan pada tiga hari pertama (hari perdagangan, tidak terbuka kepada awam) adalah:
  1. Rundingan dan perdagangan hak perbukuan yang berlangsung sepanjang tempoh pesta. 
  2. Promosi buku masakan Malaysia dan demonstrasi oleh Chef Hanieliza (penerbit: PTS)
  3. Pelancaran buku A Guide to Children’s Traditional Games (telah dialih-bahasa untuk tujuan penjualan hak cipta terjemahan) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. Promosi buku masakan Malaysia dan demonstrasi oleh Mohana Gill (dibawa khas oleh KotaBuku)
  5. Pelancaran buku Transformation of the Higher Education System in Malaysia: penulis: A. Alexandra Samokhvalova (USIM)
  6. Pelancaran buku Der Damm oleh Prof. Zakaria Ali dan Wilkomen Zu Hause, Juita oleh Prof Muhammad Hj. Salleh (Penerbit: ITBM)
  7. Promosi buku masakan Malaysia dan demonstrasi oleh Dato’ Chef Ismail (Penerbit: Karangkraf)
  8. Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Penerbit USM dan EbscoHost
  9. MoA Signing Ceremony USM-Ingram
  10. Majlis pelancaran buku Medan Selera Odyssey (penerbit: Shakespot Sdn. Bhd)
  11. Majlis pelancaran buku bergambar kanak-kanak, Puteri Pakma (penerbit: Shakespot Sdn. Bhd)
  12. Majlis menandatangani perjanjian antara DBP dengan dua penerbit dari negara China
  13. Majlis pelancaran buku Keropok Lekor Terengganu (penerbit: UMT dan ITBM)
  14. Program mewarna bersama Emila Yusof (di samping mempromosi buku-buku mewarna yang telah diterbitkan oleh Integra Maju Jaya (Oyez!Books) dan juga Feingespinst Verlag (versi Bahasa Jerman).
Acara-acara di atas tdak termasuk acara -acara perbincangan atau forum bersama antara negara-negara lain dan penerbit-penerbit dari Malaysia.
Rundingan dan perdagangan hak perbukuan.
Rundingan lagi

Dan lagi rundingan. Buku tentang pemain bola sepak pun ada.
Abby Zain di pelancaran bukunya Puteri Pakma, terbitan Shakespot Sdn Bhd. Dilancarkan oleh Puan Adina Kamaruddin, Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt.
Berbincang sambil makan, ok juga. 
Faiz al Shahab dari eSentral eBook Store berbincang dengan tetamunya.




















































Anja Leidel dari Feingespisnt Verlag (juga penerbit buku saya di negara Jerman) berkongsi ruang dengan saya untuk mempromosi buku-buku saya.

Selain dari itu, MBKM juga turut mempromosi sebanyak 50 judul buku dan disenaraikan sebagai 50 Buku Terbaik Malaysia untuk Pelesenan Antarabangsa 2015. Buku-buku ini dipamerkan di ruang hadapan reruai. Untuk senarai lengkap, sila lihat di sini.



Acara-acara di atas diselang-selikan dengan tarian asli Johor (seasli-aslinya; bukan campuran atau fusion) sesuai dengan salah topik fokus utama iaitu Asia; dimana tarian juga mencerminkan salah satu budaya di Asia. Penari-penari ini dibawa khas oleh Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt dan juga Yayasan Warisan Johor.

Pelbagai juadah Malaysia disajikan kepada para tetamu penerbit yang berkunjung di reruai Malaysia. Sebagai tuan rumah Reruai Malaysia, adalah menjadi adat kita rakyat Malaysia untuk menghidangkan makanan kepada tetamu.

Penerbit-penerbit diberi kebebasan untuk mengendalikan aktiviti masing-masing. Tiada bayaran dikenakan untuk mengadakan aktiviti di Reruai Malaysia. Penyertaan di bawah payung Malaysia juga tiada dikenakan bayaran sejak dua tahun kebelakangan ini. Semua kos tapak, binaan pavilion ditanggung bersama oleh MBKM, DBP, ITBM dan Perbadanan Kota Buku (penghargaan harus diberi kepada yang membiayai) kecuali tempat tinggal dan tiket kapal terbang para pempamer masing-masing.

Saya berada di tapak pesta dari pagi sehingga petang, saya saksikan semua acara yang berlangsung. Dan jika saya tiada, mungkin ke tandas atau mencari makanan dan kopi di kafe atau kiosk sekitar tapak pesta. Bagi yang hanya menyinggah sebentar atau hanya ke acara tertentu sahaja, tentunya semua acara-acara ini tidak diketahui. Jadual acara juga ada disenaraikan di dalam tabloid terbitan MBKM yang boleh didapati di meja penyambut tetamu di ruang hadapan reruai bagi membolehkan pengunjung menyusun jadual masing-masing.


Banyak pertanyaan tentang pelancongan Malaysia diajukan kepada saya (dan mungkin juga orang lain). Bolehkah saya menjawab, "sila ke laman tourism.gov.my untuk maklumat lanjut"? Tentu sahaja tidak. Agak angkuh bunyinya, bukan? Terima kasih kepada pihak Pelancongan Malaysia di Frankfurt yang turut serta untuk beberapa jam selama dua hari di Reruai Malaysia dan menyediakan maklumat tentang Malaysia dari segi pelancongan untuk petugas-petugas MBKM dan saya hulurkan kepada mereka yang memerlukan maklumat. Di reruai ini, kami saling membantu tanpa berkira tenaga. 

Bercakap mengenai pelancongan dan seni kebudayaan, pada tahun 2013 ketika New Zealand menjadi negara fokus, mereka mempromosi budaya mereka. Dari tarian ke pakaian kebangsaan, ke kraftangan, pelancongan, masakan dan pelbagai lagi. Begitu juga dengan Indonesia pada tahun ini dengan tema "17.000 Pulau Imajinasi", yang menampilkan keanekaragaman dan kemajmukan seni budaya Indonesia termasuk masakan.

Diskriminasi buku tidak wujud di pesta buku ini, semua jenis buku diberi ruang untuk bertapak termasuk buku masakan (walau buku Keropok Lekor Terengganu sekalipun). Usaha menulis buku masakan melalui proses yang sama; ianya bermula dengan sebatang pena, dicetak, dibuku dan diterbitkan sama seperti buku-buku lain. Keringat sama-sama tumpah didalam pembikinan. Jika kita seorang pemikir elitis, janganlah terlalu angkuh dan memandang rendah kepada buku yang tidak cukup sastera buat kita. Dan lagi, untuk menikmati lebih aktiviti dan perbukuan sastera, bolehlah berkunjung ke festival sastera seperti Singapore Writer's Festival, Ubud Writers & Readers Festival, Berlin International Literature Festival dan sebagainya.

Marilah kita sama-sama berganding bahu memartabatkan buku-buku kita, tidak kira bahasa perantaranya bahasa apa (Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, dan sebagainya); janji buku-buku tersebut ditulis oleh penulis Malaysia, diterbitkan di Malaysia, bercitarasakan Malaysia.

Lagi gambar-gambar ketika PBAF 2015:


Chef Wan dan Chef Mohana Gill dari Malaysia. Buku mereka bertema masakan dari Malaysia mampu menggondol hadiah terbaik di dunia dan genre ini yang paling banyak dilesenkan. (Kredit gambar: Chef Wan)
Majlis penyerahan sumbangan buku terbitan Malaysia kepada Universiti Goethe. Kelihatan Konsul Jeneral, Puan Adina Kamaruddin menyerahkan buku kepada Professor Arnt Graft.
Perbincangan serius antara Shakespot dan Dubook.
Buku Keropok Lekor Terengganu  yang menarik minat pengunjung German yang meminta untuk membeli buku tersebut. Terbitan Universiti Malaysia, edisi terjemahan oleh ITBM.
 Perbincangan bersama dengan pihak pengurusan PBAF.