Monday, March 20, 2017

Komot

"Buruk! Kau ni memang tak ada bakat langsung!" jerit makcik. Airmatanya berlinangan, lalu dikomotkan lukisan dan dilempar jauh-jauh masuk longkang. Hatinya bagai dikomot juga.

"Boleh tolong lukiskan poster ABC untuk makcik?" kata makcik suatu hari selepas beberapa tahun.

"Boleh, tapi sukakah makcik dengan lukisan saya?" jawabnya ragu-ragu. Kejadian lalu sesungguhnya masih segar di dalam ingatan, tidak mungkin terlupakan.

“Mesti suka,” jawab makcik, mungkin sudah lupa apa yang dikatakan dahulu, mungkin juga itu cara makcik untuk berdamai.

Dia berlalu mengambil kertas dan pensel, dan menggosok hati yang komot dengan airmata bahagia. Komot masih sedikit kelihatan tetapi memadai untuk melukis untuk makcik.

Empat

Si angka empat
tiada celakanya;
engkau yang malang.

A post shared by Em (@emilayusof) on

Wednesday, March 8, 2017

Cahaya di Hujung Jalan

Di dalam gelap yang goyah
kita teraba-raba mencari arah
Jika tersilap langkah
haruslah kita pasrah
disebaliknya ada hikmah.

Betapa kesilapan lama
melorongkan kita semua
ke jalan bercahaya.

©emyusof

Samudera Senja

Senja nan jingga
bertukar gelita
terbitlah seribu bintang di angkasa
seribu juga di samudera
digulung ombak bergelora
lalu tersemat kemas ia
didakapan getar sukma.

©emyusof

Edisi semakan - 20/3/17

Bintang Samudera

Penghias alam semesta
beribu di angkasa
beribu di samudera
digulung ombak gelora
lalu tersemat kemas ia
di dakapan getar sukma.

Malam nan terang

Pabila malam mengintai mesra
jiwa berterbangan tanpa suara
jauh dari keindahan warna
berkelana ke dalam minda.

Ditemani bintang-bintang
fikiran menjadi terang
dalam diam merenung tentang:
   HIDUP dan KEMATIAN,
apakah esok mungkin melihat mentari siang?

©emyusof


Edisi semakan 20/3/17

Malam mengintai mesra
jiwa melayang tanpa kata
menerawang ke minda
bertemankan kejora
mengheningkan cipta
apakah esok masih ada?

©emyusof

Sihir Jundai

Lucu jenaka
ha ha ha kau suka?

Gemersik suara
la la la kau terleka?

Jundai-jundai durjana
menyihir kita menjadi alpa.

©emyusof


Saturday, February 25, 2017

Cemburu

Katamu:
Bintang itu boleh kau petik sahaja
bulan itu kau dodoi di riba
matahari itu kau kalung di dada.
Dan aku pun berlalu
mencari cahaya baru
disebalik selut cemburu.

©emyusof

Kosong

Keterberulangkalian hamparan warna
di luar jendela sana
membuat kau gundah gulana.

Kanvasmu masih kosong.

Lalu kau hembus angin nestapa
mempaliti jiwa kecil sang pengkarya
yang goyah namun tidak tercela
masih ronanya teguh seperti biasa.

Kanvasmu masih kosong.

©emyusof

Kejora

Tika kejoramu dibawaNya
kau tidak lagi memandang cahaya purnama
tidak juga menanti sinaran sang suria
kau gantung kelambu hitam
melitupi suraya kusam
siang juga menjadi malam.

Sepuluh dua-minggu
kau bangkit dari sedu.
"Kau tahu kawan? Kejora itu
datang bertandang ke mimpiku
dan bertakhta di hati yang merindu,"
ujarmu padaku; mengutip saki-baki pilu.

©emyusof

Autopsi

Kau membelah tubuh yang sekujur itu
dengan pisau bedahmu
sangka kau:
      hatinya hati tisu
      matanya di siku
      otaknya di lutut.
   
Namun prasangka mu meleset.
Pisau itu harus kau tusuk
ke hatimu yang busuk.


©emyusof

Peluntur

Kau pinta serum kritis
kuberi peluntur tanpa prejudis
putihkan kanvasmu, ujarku
namun kau lunturkan aku
kembali ke asal putihku.

Yang kehilangan bukan aku.

©emyusof

Saturday, February 11, 2017

Minyak Ikan Goreng

"Kakak, kita makan apa hari ini?" tanya adiknya.

"Kejap," balasnya. Dia membuka peti ais. Tiada ikan untuk digoreng. Dia menutup peti ais.

"Kakak malas masak. Apa kata kita makan cincai hari ini; nasi gaul minyak goreng ikan dan kicap?" katanya.

"Sedap tu, kak. Nak, nak"! adik menjerit kesukaan.

Dia menggaul nasi, minyak ikan goreng dan kicap di dalam pinggan dan di letak di atas lantai beralas tikar.

Adik makan dengan berselera. Habis sepinggan nasi, diminta tambah lagi. Dia menggaul nasi, minyak ikan dan kicap sekali lagi.

Sekejap lagi emak pulang. Tentunya emak balik bawa ikan. Hari ini emak dapat gaji.

Nyonya Swee

Dari jauh seorang wanita melambainya. Kenal benar dia akan susuk itu. Nyonya Swee. Beliau mengambil upah mencuci pakaian di kem itu, dan emak adalah pelanggannya.

"Emak kamu ada?" tanya Nyonya Swee.

"Ada, nyonya, sedang mengemas barang," jawab anak itu.

"Nyonya nak ucap selamat tinggal. Kamu di kampung jangan nakal. Nyonya mesti rindu dengan kamu," kata nyonya.

"Saya juga. Saya akan rindukan nyonya dan sentil nyonya," balasnya.

"Heh, kamu ini," sengih nyonya menampakkan sentilnya, sambil berlalu untuk berjumpa emak buat kali terakhir.

Benar bagai di kata. Setiap orang yang menyental sentil akan mengingatkannya kepada Nyonya Swee. Setiap kali itu, kerinduan menebal.

"Supergirl"

Hatinya membuak-buak. Jika adik-adik lelakinya boleh melepasi halangan itu, mengapa tidak dia, fikir feminis kecil itu.

"Tepi, biar aku pula lompat," katanya.

Dia melompat! Dia mengharapkan sorakan, namun hanya kedengaran jeritan. Penglihatannya kabur, kepalanya pusing. Darah menyembur dari dahi.

Adik-adik menjerit dan menangis. Kebetulan emak pulang, emak juga menjerit. "Tolong bertahan," kata emak sebak. Dia mengangguk.

Lapan jahitan di dahi yang licin.

"Saya mohon maaf doktor, saya tidak mampu membayar sekarang. Bolehkah saya membayar pada hujung bulan?" tanya emak.

"Jangan risau puan, bayar bila ada duit," kata doktor sambil menepuk bahu anak itu.

Airmata emak mengalir deras.

Boria

Sudah empat tahun berturut-turut pakaian raya sampingan empat-beradik itu sama. Dari kasut, ke seluar, hinggalah ke baju. Ayah memilih semuanya sedondon. Emak hanya boleh tengok dan bersetuju.

Tahun terakhir berpakaian sama; kemeja merah jambu berjalur, seluar merah gelap dan kasut Clark.

Anak kedua sudah mulai bosan. Aturan berpakaian ala boria tidak disukainya. "Kalau tengok kau, macam tengok cermin!" rengus anak itu kepada kakaknya.

"Bila adik berdua tu duduk dekat, macam tengok cermin berlapis-lapis," sambung kakak.

Tahun seterusnya, tiada lagi pakaian ala boria. Kebebasan memilih baju kini di tangan masing-masing tatkala ayah memilih untuk bebas dari segalanya.

Hamzah Gila

Sudah hampir dua bulan dia bersekolah di kampung. Perjalanan pergi tidak terasa kerana Atok Budin menghantarnya dengan basikal. Perjalanan pulang sebaliknya penuh dengan cabaran; panas terik, tahi lembu, Hamzah Gila.

Hamzah Gila suka menyakat budak-budak pulang dari sekolah.

"Apa pandang pandang. Keh syium kang baru aok tahu," kata Hamzah kepadanya apabila dia merenung.

Ketakutan, dia berlari bagai nak gila. Tiba di rumah atok dia mengadu, "Atok, tadi saya kena kejar dengan Hamzah Gila."

"Lain kali jangan tenung dia," jawab atok ringkas.

Esoknya dia bertembung dengan Hamzah Gila dan buat tak tahu.

"Oi gila!" kata Hamzah Gila kepadanya, terasa hati.

Sekolah Kampung

Kemarahannya belum hilang. Baru sebentar tadi duit 30 sen hilang dari poket beg sekolah. Baru sebentar tadi kertas bunga yang emak bekalkan untuk matapelajaran seni, hilang tanpa jejak.

Ketika perutnya kosong, ada pula badut berumur 9 tahun menghantar surat cinta. Kegilaan apakah budak-budak Kampung Sega ini?

Duit dicuri, kertas hilang, surat cinta, apa lagi yang Kau nak duga ya Tuhan?Airmatanya berlinang ketika mahu pulang dari sekolah.

"Nah, lintah!" budak yang menghantar surat cinta tadi melemparkan ke arahnya. Cintalah sangat.

Walapun lintah tidak melekat pada bajunya, dia masih menjerit sekuat hati.

"Emak, saya mahu pulang ke Melaka sekarang, tolonglah!"

"Umbrella"

Tiap kali lagu Rihanna muncul di corong radio, ingatannya kembali kepada Siti Aishah, teman sekelas darjah satu, duduk bersebelahan, berpuluh tahun dahulu.

"Umbrella! Tunggu saya," Aishah memanggil sewaktu loceng rehat berbunyi.

"Awak, nama saya bukan Umbrella," katanya.

"Tahu. Saja suka. Nama awak kalau sebut macam orang putih sebut, bunyinya Umbrella!" Aishah tersengih sambil menjeling dan mencebik bibir ke arah anak orang putih, yang juga ketua darjah, yang sedang memerhati mereka.

Sejak itu, dialah "umbrella" bagi Aishah. Sama-sama ketawa dan menangis, sama-sama menyampah dengan budak mat saleh anak Kolonel yang suka membuli budak-budak yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Kerja

"Boleh hantar emak ke perhentian bas?" tanya emak.

"Naik basikal atok ke?" balas anak itu. Jom!

Dia menggendong emaknya menaiki basikal atok. Walaupun emak berat darinya, dia tidak mengeluh malah suka kerana dapat mengayuh.

"Emak nak ke mana?" tanyanya.

"Emak nak cari kerja di Kuala Lumpur."

"Kenapa cari kerja?" tanyanya lagi.

"Nak sara kamu berempat. Apa sangat yang emak boleh buat di kampung," jawab emak.

"Kerja apa?" dia ingin tahu.

"Kerja kilang," emak membalas.

"Oh ok," dia terdiam. Terdiam kerana ada bukit di hadapan. Emak faham, lalu menyuruhnya memberhentikan basikal. "Mari kita jalan sahaja, bukit ini tinggi."

Mereka berjalan sehingga ke perhentian bas.

"Cepat pulang ya, emak!" katanya sambil melambai emak.

Terbang

Dia melihat sekeliling. Rumah yang diduduki selama beberapa tahun akan ditinggalkan.

"Selamat tinggal pokok rambutan, pokok gajus. Selamat tinggal pokok ru dan orang-orang kenit," bisik hati anak kecil itu.

"Cepat, trak mahu bergerak," lambai emaknya.

Dia berlari melintasi sangkar burung merbok kepunyaan ayah. Terhenti. "Selamat tinggal," katanya.

"Aku nak pindah. Kau jaga diri elok-elok." Burung berkicauan. "Apa? Kau nak ikut?" tanyanya.

"Baik," katanya sambil membuka pintu kecil sangkar.

"Jumpa di sebelah sana, ok. Selamat tinggal!" lambainya sambil berlari ke arah trak askar yang sarat dengan perabot.

Seperti sangkar, rumah juga telah kosong.

Ayah tidak muncul. Tiada selamat tinggal.

Surat Kepada Ayah

Ayah, ada orang ingat ayah orang lain ayah saya. Bukan seorang yang ingat begitu, ayah, malah beribu. Jenuh saya terangkan bahawa ayah itu punyai anaknya sendiri. Tetapi setakat itu. Saya tidak tahu bagaimana mahu terangkan tentang ayah sendiri. Jika saya bercerita tentang ayah, saya ceritakan waktu kita sekeluarga bersama dahulu. Itulah kenangan terindah kita, ayah. Kenangan sewaktu saya membesar, semuanya dengan emak. Sampai kini dengan emak.

Saya cemburu, ayah. Adik-adik yang berlima itu membesar dengan ayah. Bagaimanalah agaknya membesar dengan ayah? Seronok agaknya.

Tapikan, ayah, membesar dengan emak pun seronok juga. Emak jadi emak, emak jadi ayah.

Emak SUPERMAN.

Jenguk II

Jawapan tak kunjung tiba. Sebak dadanya. Pilu hatinya. Anaknya tidak mahu pulang beraya. Dia tidak salahkan anak itu. Dia tahu emak anak itu bersendirian. Dia akur dengan segala yang tersurat. Salah terletak pada dirinya sendiri. Ditinggalkan emak anak itu untuk kekasih hatinya yang baru. Sudah tiada cinta untuk kekasih hati yang lama. Cinta sudah berkarat. Mana mungkin cinta boleh dipaksa. Jika dipaksa, merana jiwa. Anak itu pasti tahu. Semua orang tahu.

Seperti terbangnya burung merbok kesayangannya berpuluh tahun yang lalu yang dilepaskan anak itu dari sangkar, dia akur dia harus melepaskan anak itu.

Pergilah bebas, terbang tinggi. Jenguklah jika merindu.

Jenguk

"Apa salahnya sekali-sekali beraya dengan ayah," katanya kepada anak yang ditinggalkannya dahulu.

"Tapi, emak keseorangan kalau saya beraya dengan ayah. Emak tiada sesiapa. Ayah ada isteri, anak-anak yang lima orang itu," kata anak itu.

"Kamu anak ayah juga."

Dia tidak menjawab. Kerana jika dia menjawab, jawapannya akan menyakitkan hati seorang ayah.

Anak itu merenung jauh. Kalaulah ayah tahu penderitaan emak. Kalaulah ayah bantu tanggung anak-anak yang ditinggalkan. Kalaulah ayah tahu, emak pergi pagi, balik malam bertungkus lumus kerja di dapur restoran.

Kalaulah ayah.

Dia menutup tanda ‘X’ pada kotak mesej. Tiada jawapan kepada ayah sejak setahun lepas.